Tuesday, December 14, 2010

Plea Bargaining

faizalnizam | 12/14/2010 11:34:00 AM | |
Blog ini sudah bersawang. Mujur co-author ada menerbitkan informasi-informasi berguna sepanjang 2010. Saya tidak pasti jika blog ini akan masih wujud pada tahun pertama kerana saya nampaknya tidak punya banyak masa untuk blog ini.

Untuk menghidupkan sedikit blog, saya kongsikan sedikit maklumat yang saya peroleh daripada Berita Harian Online tentang "plea bargaining".

'Plea bargaining' di mahkamah
Oleh Ahmad Johari Mohd Ali dan S Anand Kumar
anand@bharian.com.my
2010/12/14

Hukuman diringan jika tertuduh kes jenayah kali pertama mengaku salah secara sukarela

KUALA LUMPUR: Kaedah 'plea bargaining' atau rundingan bagi pengakuan bersalah untuk mengurangkan pertuduhan dan hukuman terhadap tertuduh sesuatu kesalahan jenayah akan dilaksanakan di mahkamah Malaysia tidak lama lagi.

Melalui kaedah itu, seseorang tertuduh diberi peluang untuk mengaku bersalah tanpa perlu melalui perbicaraan penuh di mahkamah dengan hukuman yang dikurangkan sehingga maksimum 50 peratus daripada yang termaktub dalam akta.

Bagaimanapun, kaedah itu hanya untuk pesalah kali pertama dan dilakukan secara sukarela.

Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi, berkata melalui kaedah itu tertuduh boleh mengetahui hukuman yang dikenakan jika dia memilih mengaku bersalah tanpa melalui proses perbicaraan.

Katanya, kaedah rundingan bagi pengakuan bersalah yang diadakan di antara pihak pendakwaan dan pembelaan bukan saja dapat menyegerakan penyelesaian kes jenayah, malah juga membantu mengatasi masalah kes tertunggak dan beban mahkamah.

“Dengan cara ini lebih banyak orang kena tuduh (OKT) akan mengaku bersalah dan kes berkenaan tidak perlu melalui perbicaraan penuh dan kes jenayah juga dapat berjalan lebih lancar,” katanya selepas merasmikan Persidangan Tahunan Kedua Majlis Hakim Malaysia di sini, semalam.
Seramai 128 Hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan menghadiri persidangan selama tiga hari itu.

Zaki berkata, penggunaan kaedah ‘plea bargaining’ diperuntukkan mengikut Seksyen 172 Kanun Acara Jenayah (Pindaan) 2010 yang diluluskan Parlimen, Jun lalu.

Beliau berkata, garis panduan berhubung pelaksanaannya sedang disediakan Pejabat Peguam Negara dengan kerjasama Majlis Peguam dan mahkamah.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Persekutuan, yang juga Hakim Pengurus bagi Mahkamah Jenayah, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin berkata ‘plea bargaining’ perlu ditawar dalam masa 30 hari selepas seseorang itu didakwa, dan sekiranya tiada pilihan diterima selepas 90 hari, perbicaraan penuh akan dijalankan.

Beliau berkata, sebaik saja hukuman diumumkan, kedua-dua pihak tidak boleh merayu terhadap keputusan di mahkamah lebih tinggi, kecuali atas alasan teknikal.

Mengikut pindaan itu, hakim juga boleh memanggil yang dituduh secara tertutup, bagi memastikan permohonan dibuat secara sukarela.

Zulkefli berkata, ketika melaksanakan satu penyelesaian yang memuaskan hati dalam sesuatu kes, adalah menjadi tugas mahkamah untuk memastikan bahawa kaedah ‘plea bargaining’ itu dilaksanakan secara sukarela oleh semua pihak terbabit.

Dalam pada itu, Majlis Peguam yang ditanya mengenainya berkata, pendapatan peguam tidak akan terjejas apabila rundingan bagi pengakuan bersalah di antara pihak pendakwaan dan pembelaan dilaksanakan kelak.

Presidennya, Ragunath Kesavan, berkata walaupun bayaran guaman akan kurang kerana tiada perbicaraan penuh, tetapi bukan semua kes akan dibawa melalui proses itu kerana ia tertakluk kepada persetujuan pihak pendakwaan.

“Saya tidak melihat sesuatu yang negatif dengan pelaksanaan proses ini kerana ia memberi hak kepada tertuduh dan peguam pula bertindak untuk kepentingan anak guamnya,” katanya yang menyambut baik pelaksanaan kaedah itu.

INFO

# 'Plea bargain' atau rundingan bagi pengakuan bersalah diadakan di antara pihak pendakwaan dan pembelaan sebagai insentif bagi tertuduh memilih untuk mengaku salah, tanpa perlu melalui proses perbicaraan.

# Konsep ini yang diwujudkan untuk mengurangkan jumlah kes tertunggak di mahkamah dibahagikan kepada dua iaitu rundingan bagi pertuduhan dan rundingan bagi hukuman. Melalui rundingan pertuduhan, tertuduh boleh mengaku salah kepada pertuduhan lebih ringan atau didakwa dengan sebahagian daripada beberapa tuduhan asal dikenakan.

# Bagi rundingan hukuman, tertuduh diberitahu terlebih dulu hukuman yang bakal dikenakan terhadapnya jika memilih mengaku salah bagi tuduhan dihadapinya.

# Konsep ini digunakan bagi hampir 90 peratus kes jenayah di Amerika Syarikat. ‘Plea bargain’ turut diamalkan di Pakistan, India, England dan Wales serta Victoria, Australia, selain di Itali, Jerman dan Perancis.

Sumber: Berita Harian Online

1 comment:

miss lolly a.k.a luvfareda said...

erkk b0leh pulak ringankan eh ?? -__-

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

Search

Disclaimer

The author will be not liable for any damage or loss you suffered by relying and using the information in this blog. Surfing, reading, using, thinking at your own risk. However, if you realize anything that required any correction, please inform the author immediately. The author is also open for any academic discussion.

Followers